Saturday, March 04, 2006

Dasar Automatif tertangguh setahun lebih

DASAR Automotif Nasional yang sepatutnya dibentangkan kerajaan akhir tahun 2004 masih tertangguh walaupun sudah setahun lebih. Namun begitu, timbalan perdana menteri, Najib Razak mengulangi janji bahawa dasar berkenaan akan dibentang kerajaan dalam tempoh terdekat ini.

Najib memberikan dalih, kelewatan pembentangan dasar berkenaan daripada pelan awal disebabkan oleh kajian mendalam dan terperinci perlu dibuat sebelum dapat dibentangkan.

“Kita mempunyai beberapa objektif yang perlu digariskan supaya tidak bercanggah antara satu sama lain,” katanya ketika merasmikan Akademi Naza Kia di Gurun, Kedah, 3 Mac lalu.

Secara rambang, Najib membayangkan bahawa dasar berkenaan akan tertumpu bagi memastikan Proton dilindungi disamping boleh bersaing di peringkat antarabangsa. Selain ini, kerajaan juga bercita-cita untuk menjadikan Malaysia sebagai hub automotif serantau bagi beberapa syarikat pengeluar kereta antarabangsa.

Sejak akhir-ahkir ini, syarikat kereta nasional itu dikatakan oleh banyak pihak sebagai gagal untuk menghasilkan kualiti kereta yang boleh bersaing di pasaran dunia. Proton juga belum lepas daripada perbagai kemelut pentadbiran.

Dalam majlis berkenaan, Kumpulan Naza turut menerima pengiktirafan ISO 9000:2000 daripada Institut Penyelidikan Industri dan Piawaian Berhad (Sirim) dan Agensi Persijilan Kenderaan yang beribu pejabat di United Kingdom. Indra Khadir [Sariberita]

[kembali ke halaman utama]

Friday, February 24, 2006

MAS total rugi RM1 billion tahun lalu

SYARIKAT penerbangan nasional MAS mengalami kerugian RM1 billion tahun lalu, dan lebih separuh daripada kerugian itu yang berjumlah RM552 juta dilapor terkumpul bagi suku terakhir tahun lalu. Sebelum ini MAS dilaporkan mengalami kerugian lebih RM648 juta dalam suku kedua yang berakhir pada Disember tahun lalu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan awal minggu ini, Pengarah Urusan MAS yang baru, Idris Jala berkata, syarikat itu memerlukan sekurang-kurangnya RM3 billion dalam bentuk tunai untuk keperluan operasi sehingga penghujung 2007.

Bagi memenuhi keperluan itu, kira-kira RM1.2 Billion dijangka bakal diperolehi dengan menjual beberapa aset yang dimilik oleh MAS, termasuk bangunan dan beberapa harta lainnya. Memetik laporan Dow Jones 24 Februari, MAS juga dikatakan tidak berdaya untuk memenuhi jumlah itu dengan hanya berharapkan pada jualan saham syarikat itu yang kini menjadi sangat murah.

Sehingga kini, MAS juga dilaporkan sebagai syarikat yang paling banyak memiliki kapal terbangnya sendiri iaitu berjumlah 100 buah.

Dalam masa yang sama, penganalisis menjangkakan MAS akan menjimatkan kos dan perbelanjaannya dalam tempoh ke hadapan ini dan syarikat itu dijangka kembali memperolehi keuntungan pada penghujung 2008.

Syarikat yang mengalami pelbagai krisis dalaman sejak tujuh tahun lalu juga dikatakan sukar untuk mendapat pinjaman daripada pihak bank. MAS merupakan sebuah syarikat rangkaian kerajaan dengan Khazanah Nasional Bhd memegang 69 peratus saham. Indra Khadir [Sariberita]

[kembali ke halaman utama]